arena

Korea tambah derita skuad negara

Oleh Farah Suhaidah Othman

SKUAD hoki negara gagal menempah slot ke perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah selepas tewas tipis kepada pasukan Korea Selatan 2-1, di Ipoh, sebentar tadi.

Peluang menerusi sembilan pukulan sudut penalti gagal dimanfaatkan sepenuhnya dan skuad negara terpaksa berhempas pulas untuk meraih satu mata di Stadium Sultan Azlan Shah.

Pada awal suku pertama perlawanan menyaksikan pasukan Malaysia Tigers mengasak kubu pertahanan lawan namun jaringan oleh Firhan Ashari menerusi gol padang dibatalkan pada minit ke-15 kerana didakwa mengasari pemain lawan dalam kotak penalti.

Korea Selatan mengejutkan skuad kendalian Roelant Oltmans menerusi jaringan Kapten pasukan, Lee Namyong pada minit ke-31 menerusi gol padang.

Lawan terus menjarakkan kedudukan dengan gol kedua oleh Jonghyun Jang pada minit ke-35 menerusi pukulan sudut penalti.

Bersambung pada suku keempat, peluang mendapat pukulan sudut penalti dua kali berturut-turut digunakan sepenuhnya skuad negara untuk merapatkan kedudukan menerusi jaringan pertama oleh kapten pasukan, Razie Rahim pada minit ke-46.

Oltmans berkata, meskipun tewas kepada Korea Selatan, beliau berbangga dengan prestasi anak buahnya kerana mampu memberi persembahan terbaik.

"Mereka bermain dengan baik malam ini, tiga gol dibatalkan oleh pengadil namun nasib tidak menyebelahi kita dan kita harus menerima keputusan itu," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Malaysia akan bertemu Kanada pada Jumaat ini bagi menempah kedudukan tempat ketiga dan keempat.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 10:59pm
d