arena

Moyes minat latih Scotland

Oleh Reuters

BEKAS bos Manchester United, David Moyes menyatakan minatnya menjadi pengurus di Scotland namun jika diberi pilihan dia lebih berminat menguruskan kelab.

Pengurus Scotland Alex McLeish menjadi mangsa kritikan hebat selepas pasukan bimbingannya mencatat kekalahan memalukan kepada Kazakhstan, 3-0 pada perlawanan pembukaan kelayakan Euro 2020 Khamis lalu.

Moyes kali terakhir membimbing West Ham United selama enam bulan dan mengakhiri tugas itu pada Mei tahun lalu dan bersandarkan kepada reputasi membimbing kelab ternama seperti United, Real Sociedad dan Sunderland.

“Kelab bola sepak mungkin pilihan saya, namun Scotland adalah negara saya dan saya begitu bersemangat,” kata Moyes kepada BBC.

Ketika pasukan bimbingan McLeish agak goyak selepas mencatat kemenangan kurang meyakinkan ke atas San Marino, 2-0.

Moyes percaya sudah tiba masanya skuad kebangsaan bekerjasama dengan Scottish Premiership untuk meningkatkan pembangunan pemain muda di dalam negara itu.

“Tugas pengendali Scotland adalah sukar bagi semua orang kerana mereka mengharapkan pencapaian gemilang,” kata warga Scotland berusia 55 tahun itu.

“Saya tidak fikir ada cara lain untuk memperbaikinya. Saya tidak mempunyai semua jawapan, tetapi saya ada idea dan akal fikiran.

“Ada banyak perkara yang kita tidak lakukan di Scotland, kita mungkin memilih untuk membawa banyak pemain asing, dan pemain asing yang murah, dan mungkin kebanyakan pemain muda Scotland tidak mendapat peluang.

“Kita perlu lihat jika kita dapat mencari jalan penyelesaian untuk pembentuk lebih ramai pemain, tetapi kita tidak akan melakukannya untuk dua atau empat tahun, sebaliknya ia adalah plan 10 atau 15 tahun akan datang.”

Moyes turut dikaitkan dengan tugas di Celtic oleh media Inggeris namun bekas bos Everton itu berharap pengurus sementara Neil Lennon akan mengambil tugas tetap di Parkhead.

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 1:30am
d