arena

Federer sedia hadapi Anderson

Oleh AFP

ROGER Federer sudah sedia untuk berdepan servis hebat Kevin Anderson selepas bintang handalan Switzerland itu menempah tiketnya ke suku akhir Terbuka Miami dalam tempoh 61 minit awal pagi tadi.

Federer meraikan ulang tahun ke-20 dalam kejohanan itu dan semakin menghampiri gelaran keempatnya di Selatan Florida itu selepas menewaskan pemain muda dari Russia Daniil Medvedev 6-4 6-2.

Lawan berikutnya bagi legenda juara Grand Slam 20 kali itu adalah pemain nombor tujuh dunia dari Afrika Selatan itu yang berjaya menewaskan pemain berusia 37 tahun di Wimbledon dalam aksi lima set tahun lalu.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat Anderson ke atas Federer dalam enam percubaan dan kali pertama dia memenangi satu set.

Namun selepas menewaskan Medvedev, bekas pemain nombor satu dunia itu menyedari bukan sesuatu yang mudah untuk menentang Anderson di gelanggang utama Stadium Hard Rock.

“Saya fikir jika anda menewaskan saya di Wimbledon, anda mendapat perhatian saya,” kata Federer.

“Dia memiliki servis yang hebat dan saya gembira dia kembali bermain selepas mengalami kecederaan.

“Jadi, daripada situ, saya tahu apa yang perlu dihadapi esok. Perlawanan dengannya sebelum ini saya pasti akan menjadi sengit kerana kemungkinan dia akan melakukan servis bertenaga.

“Saya juga percaya gelanggang ini juga yang terbaik untuknya kerana dia sudah biasa dengan gelanggang jenis keras di Amerika Syarikat dan banyak berlatih di sini.

“Saya juga akan memastikan servis yang baik dan mungkin membuat pukulan serong, melakukan aksi rali dan kemudian mencari jalan untuk menewaskannya. Menarik untuk mengetahui bagaimana perjalanan perlawanan ini.”

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 9:51am
d