arena

'Dah jangka hilang Alves'

Oleh Izzali Ismail

KEDAH sekali lagi akan kehilangan aksi pemain pertahanan kental Renan Alves atau digelar 'Pak Nan Qhebau' pada perlawanan Liga Super seterusnya menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman malam esok.

Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak berkata pihaknya sudah menjangkakan perkara ini selepas dimaklumkan mengenai penggantungan membabitkan dua perlawanan Liga Super ini iaitu penggantungan automatik pada perlawanan keenam menentang Pahang pada 8 Mac lalu dan penggantungan tambahan pada perlawanan ketujuh menentang JDT pada 29 Mac.

"Kami sudah menjangkakan perkara (penggantungan) ini dan kami juga melakukan segala persiapan sebelum ini untuk berhadapan dengan situasi kemungkinan hal ini terjadi,” kata Aidil.

"Antara persiapan yang kami lakukan adalah melalui beberapa siri perlawanan persahabatan melalui program Jelajah Lembah Klang dua minggu lalu untuk mencari formula terbaik pada posisi berkenaan.

"Kami perlu memikirkan beberapa pilihan seperti pelan A dan pelan B untuk meneruskan perancangan sebagai usaha memantapkan pasukan untuk berhadapan JDT kali ini."

Aidil turut berkata disebalik berita yang diterima ini, beliau mahukan semua pemain meneruskan fokus serta disiplin dan beraksi sebagai satu pasukan seperti mana aksi sebelum ini.

"Saya yakin semua pemain bersedia dengan perancangan yang akan kita lalukan untuk berhadapan JDT dan kita lihat pemain bersungguh-sungguh melakukan persiapan sewaktu latihan yang diadakan sebelum ini,” kata beliau.

Kedah terpaksa melupakan khidmat Alves sewaktu Kedah bertemu Pahang pada 8 Mac lalu selepas beliau dilayangkan kad merah dalam satu insiden pada penghujung babak ketika perlawanan Kedah menentang PKNS FC di Stadium Darul Aman 2 Mac lalu.

Menurut maklumat sebelum ini kes kad merah Alves ini disenarai masuk ke Lembaga Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kemudian diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui mesyuarat pada 27 Mac.

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 11:49am
d