arena

Mat Don tak turun layan Bos Gaurus

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA United (MU) akan melayan Perak pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam esok, tanpa kelibat pemain tengah Liridon Krasniqi (Mat Don) yang masih cedera.

Ketua jurulatih MU, Zainal Abidin Hassan berkata, walaupun tanpa sentuhan Mat Don dia sudah memiliki perancangan teliti mencari pengganti pemain Kosovo terbabit untuk membantu Safiq Rahim di bahagian tengah.

Menurutnya, namun dia enggan menamakan pengantinya sebelum perlawanan sebagai suntikan motivasi kepada semua pemain untuk lebih bersedia menggalas tugasan berkenaan.

Katanya, skuad Hang Tuah diyakini mampu memberi komitmen tinggi tatkala bertemu The Bos Gaurus di laman sendiri selepas berehat panjang selama tiga minggu namun masih mengadakan sesi latihan dan perlawanan persahabatan termasuk berdepan Sabah, baru-baru ini.

"Pastinya kami enggan melepaskan sebarang mata kepada lawan, sebaliknya mahu terus konsisten memperoleh markah maksimum dalam pertemuan terbabit, walaupun pelawat adalah pasukan yang bagus dan sukar dijangka.

"Justeru, saya mengharapkan pemain mengekalkan disiplin tinggi, sentiasa bersedia dan fokus sebagai aspek penting untuk menewaskan Perak," katanya.

Sementara itu, dia juga gembira dengan perkembangan pemain Filipina, Patrick Reichelt

yang baharu pulang daripada menyertai skuad kebangsaan negara berkenaan.

Beliau berkata, pengalaman yang dikutip ketika beraksi untuk negara itu dalam tempoh dua minggu diyakini mampu memperkasa persembahan pasukan.

Berikutan itu, pemain terbabit ditagih untuk membantu barisan tengah dan melakukan gerakan dari posisi sayap bagi memastikan usaha mencipta jaringan mampu direalisasikan.

Selain Patrick, penjaga gol utama skuad Sang Kancil iaitu Khairul Fahmi Che Mat juga turut memiliki pengalaman antarabangsa dengan terkini menyertai Piala Piala Airmarine, minggu lalu.

Buat masa ini, skuad bimbingan Zainal menduduki tangga kelima dengan mengutip 10 mata sementara Perak ketujuh liga dengan enam mata dengan MU lebih satu perlawanan berbanding lawan.

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 4:33pm
d