arena

Elak atlet jadi mangsa seksual, penderaan

Oleh Saiful Affendy Sapran

JAWATANKUASA gangguan dan penderaan akan ditubuhkan bagi melindungi atlet negara yang terbabit dengan isu seperti gangguan seksual.

Pesuruhajaya Sukan, Datuk Zaiton Othman berkata, jawatankuasa itu akan diketuai oleh Datuk Low Beng Choo selaku pengerusi manakala Datuk Marina Chin selaku timbalannya dan beliau sendiri selaku setiausaha.

"Kami akan mewujudkan talian di mana jika seseorang atlet itu menerima ancaman seperti gangguan seksual, maka mereka boleh terus hubungi talian yang kami akan maklumkan kemudian nanti. "Tindakan kemudian akan diambil," katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan bendera kejohanan kepada atlet Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik (MAGGA) yang akan beraksi pada empat kejohanan termasuk Piala Dunia di Singapura bulan depan.

Jelas Zaiton, jawatankuasa itu juga akan dianggotai oleh bekas atlet daripada pelbagai bangsa. "Untuk permulaan, mereka ini melakukan tugas secara sukarela tanpa sebarang bayaran.

"Ini adalah sebahagian daripada sumbangan semula mereka ke atas sukan di negara ini," katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 8:12pm
d