arena

Farhan, Amy Olahragawan, Olahragawati Selangor 2018

Oleh BERNAMA

PEMAIN sepak takraw kebangsaan Farhan Adam dan gimnas negara Amy Kwan masing-masing dinobat Olahragawan dan dan Olahragawati Selangor 2018, hari ini.

Kedua-dua atlet itu menerima hadiah ​​​​​​​wang tunai RM10,000 dan piala iringan daripada Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah, yang mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2018 di Shah Alam.

Farhan, 29, salah seorang pemain yang membantu Malaysia menamatkan kemarau 24 tahun pingat emas takraw pada Sukan Asia Jakarta-Palembang manakala Amy, 24, cemerlang meraih empat pingat pada Sukan Komanwel Gold Coast.

Atlet olahraga, Ilham Suhaimi, 18, dan perenang Nessa Yip, 15, dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Harapan Selangor dan masing-masing menerima trofi serta sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional berjumlah RM5,000.

Ilham, pelajar prauniversiti Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), cemerlang menyumbang empat daripada 10 pingat emas Malaysia pada temasya Sukan Sekolah ASEAN manakala Nessa meraih dua emas dan satu perak pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak.

Farhan yang ditemui pemberita selepas majlis itu berbangga kerana muncul pemain sepak takraw pertama menerima anugerah itu, sambil menyifatkan ia satu pengiktirafan kepada sukan sepak takraw.

“Anugerah ini akan menjadi pendorong utama saya untuk menjadi seorang pemain yang lebih berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Amy, Olimpian Wanita 2018, turut melahirkan perasaan gembira kerana menerima anugerah itu sejak bergelar atlet negara.

“Ia semestinya menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk melakukan yang terbaik buat Selangor dan Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 9:40pm
d