arena

Hujan tak jejas Ashleigh

Oleh AFP

PEMAIN tenis Australia Ashleigh Barty melangkah ke final terbesar jelajah WTA awal pagi tadi dengan meneruskan aksi cemerlang di Terbuka Miami hasil kemenangan 6-3, 6-3 ke atas pemain Estonia Anett Kontaveit 6-3 6-3.

Pertemuan pertama kedua-dua pemain itu terjejas apabila perlawanan ditangguhkan akibat hujan yang berlarutan sehingga empat jam.

Namun sebaik perlawanan disambung, Ashleigh berjaya mengawal dirinya untuk menangani Anett yang sering melakukan kesilapan.

Dia akan menentang sama ada Simona Halep atau Karolina Pliskova pada final awal pagi Ahad dan tidak sabar untuk menjulang trofi WTA Premier Mandatory buat kali pertama.

Pemain berusia 22 tahun itu akan melonjak ke kelompok 10 teratas dunia apabila ranking baharu dikeluarkan dan berpuas hati dapat menamatkan aksi separuh akhir dalam tempoh permainan 77 minit.

“Ia hari yang panjang, saya sedar kami perlu menunggu namun ia satu peluang untuk minum kopi dan menonton golf jadi saya berasa tenang,” kata Ashleigh yang berehat sementara dari sukan itu pada 2015 untuk bermain kriket sebelum kembali pada 2016.

“Bila saya keluar, saya sudah sedia untuk bertarung. Saya tidak bermula dengan baik tetapi dapat menyusun kembali strategi permainan dan lakukan apa yang perlu.”

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 9:54am
d