arena

Pahang mahu kekal momentum

Oleh Asrol Awang

TIDAK mahu terus berada di tangga kedua Liga Super, Pahang akan memastikan kunjungan ke Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran, untuk menentang Felda United FC malam esok berakhir dengan kemenangan. 

Ini kerana tiga mata penting buat skuad kendalian Dollah Salleh itu untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) berdasarkan perbezaan dua mata di antara kedua-dua pasukan.

  Justeru, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan mahu anak buahnya yang cemerlang dalam enam perlawanan sebelum liga berehat mengecewakan skuad bimbingan Mohd Nidzam Jamil. 

"Sudah pasti kami mahu mengutip tiga mata di tempat lawan untuk mengukuhkan kedudukan dalam saingan liga ketika semua pasukan berusaha untuk memperbaiki kedudukan. 

"Biarpun tanpa Dickson Nwakaeme yang digantung satu perlawanan, ia tidak mengganggu persediaan pasukan untuk mencapai misi tiga mata di Jengka," katanya. 

Dollah berkata, keputusan cemerlang dalam enam perlawanan sebelum ini diharap berterusan biarpun tiada aksi persahabatan sepanjang tempoh rehat liga. 

Katanya, fokus utama skuad itu ialah memanfaatkan segala peluang yang ada dan tidak memandang mudah keupayaan FELDA United. 

"Saya percaya pemain yang diberi tanggungjawab dapat menunjukkan prestasi terbaik. Pada mada sama, Muslim Ahmad dan Afif Amiruddin juga sudah pulih daripada kecederaan,"katanya. 

Difahamkan, Dollah akan menggandingkan Norshahrul Idlan Talaha dan Jose Eduardo di bahagian serangan selepas ketiadaan Nwakaeme untuk merobek gawang The Fighters.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 11:55am
d