arena

'Kenaikan 20 peratus bukan nak untung...' [METROTV]

Oleh Firdaus Hashim

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan keputusan menaikkan maksimum 20 peratus harga tiket bagi penyokong pasukan pelawat bukan untuk meraih keuntungan sebaliknya bagi mengawal harga tiket daripada naik mendadak.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, ia diputuskan demi menjaga kepentingan penyokong pelawat di mana pasukan tuan rumah tidak boleh meletakkan harga tiket melebihi harga yang ditetapkan.

Jelasnya, kenaikan harga ini juga bertujuan menampung kos tambahan kepada pasukan tuan rumah yang perlu menyediakan kawalan keselamatan tambahan untuk penyokong pelawat selepas MFL menetapkan had minimum jumlah tiket yang perlu dijual pasukan tuan rumah kepada penyokong pelawat.

Bagaimanapun kenaikan harga tiket itu bergantung kepada pasukan tuan rumah sendiri sama ada melaksanakan atau mengekalkan harga asal tiket kepada penyokong pelawat.

“MFL meletakkan tahap peratusan iaitu 20 peratus di mana satu pasukan itu tidak boleh menjual harga tiket penyokong pelawat lebih daripada 20 peratus berbanding dengan nilai harga tiket penyokong pasukan tuan rumah.

“Jadi kita berpendapat bahawa jumlah maksimum 20 peratus itu sudah memadai bagi memastikan pasukan tuan rumah dapat membayar kos-kos yang berkaitan dengan kemasukan penyokong pasukan pelawat terutama aspek keselamatan,” katanya.

Sebelum ini mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL pada 15 Mac lalu membenarkan kenaikan maksimum 20 peratus harga tiket penyokong pelawat selepas MFL menetapkan peraturan kepada pasukan tuan rumah untuk memperuntukkan sejumlah tiket minimum kepada penyokong pasukan pelawat.

Berdasarkan peraturan itu, pasukan tuan rumah wajib memperuntukkan minimum 300 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti di bawah 20,000 tempat duduk, peruntukan minimum 500 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti antara 20,000 sehingga 40,000 tempat duduk dan peruntukan minimum 1,000 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti lebih dari 40,000 tempat duduk.

“Keputusan itu dibuat selepas timbulnya rungutan pasukan pelawat tidak dapat pergi ke stadium dan kadang-kadang kita melihat ada juga peruntukan jumlah tiket kepada penyokong pasukan pelawat berdasarkan budi bicara masing-masing sahaja dan bukan satu ketetapan," katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 4:51pm
d