arena

Farah pulang demi Malaysian Tigress

Oleh Saiful Affendy Sapran

PENJAGA gol skuad hoki negara, Farah Ayuni Yahya akan diterbangkan beribu kilometer dari England untuk pulang seketika bagi membantu Malaysian Tigress menghadapi lima aksi persahabatan bertemu pasukan nombor satu Asia, India bermula 4 April ini.

Ketua jurulatih skuad hoki negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengakui khidmat Farah yang pernah menerima status penjaga gol terbaik Asia amat penting dalam usaha meraih keputusan terbaik sepanjang lima perlawanan itu.

Farah ketika ini beraksi dalam Liga Hoki England bersama kelab East Grinstead yang akan turun pada perlawanan terakhir liga hari ini bertemu Clifton Robinsons.

“Kami mungkin dapat menggunakan khidmat Farah untuk empat perlawanan saja. Bagi perlawanan terakhir bertemu India dia sudah pulang semula ke England bersama kelabnya untuk menghadapi pusingan kalah mati selepas liga berakhir,” katanya.

Sementara itu, Dhaarma berkata, selain Farah semua pemainnya juga cukup teruja untuk bertemu India.

“Bayangkan sejak Sukan Asia Ogos lalu, sudah hampir tujuh bulan pemain tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif.

“Sudah tentu daripada lima perlawanan bertemu India kami akan dapat mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Ia sebagai persiapan sebelum menghadapi Pusingan Akhir Siri FIH di Dublin, Jun depan,” katanya.

Empat lagi aksi persahabatan dengan India adalah pada 6, 8, 10 dan 11 April. Semua perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 6:02pm
d