arena

Tempoh 'bulan madu' sudah berakhir

Oleh Saiful Affendy Sapran

KEPUTUSAN memberangsangkan pada pusingan pertama Kejohanan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Qatar mendorong pengurusan PETRONAS Yamaha SRT menuntut keputusan lebih baik daripada dua pelumbanya, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo pada pusingan kedua di GP Argentina, hujung minggu ini.

Kedua-dua pelumba pasukan Malaysia itu mempamerkan prestasi memberangsangkan pada sesi kelayakan di Qatar apabila Quartararo menyambar petak kelima manakala Morbidelli yang tampil dengan status rookie terbaik musim 2018 bermula di petak kelapan.

Namun Quartararo terpaksa bermula dari laluan pit selepas jenteranya menghadapi masalah pada petak permulaan sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16 manakala Morbidelli ke-11 untuk mengumpul lima mata berharga.

"Kami mengharapkan keputusan yang lebih baik berbanding pusingan pertama.

"Selepas berakhir pusingan pertama yang juga perlumbaan pertama untuk pasukan ini, saya beritahu kepada pasukan bahawa tempoh 'berbulan madu' sudah berakhir.

"Bermula pusingan kedua di Argentina, kami perlu fokus kepada prestasi jentera dan pelumba," kata prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan Yamaha pada musim ini dilihat masih berdepan isu jentera yang tidak begitu kompetitif seperti yang dihadapi tahun lalu.

"Jika hendak dibandingkan dengan jentera seperti Ducati, Honda dan Suzuki, nampaknya mereka lebih kompetitif pada tahun ini.

"Mungkin perkembangan ini memberi kerisauan kepada semua pasukan yang menggunakan jentera Yamaha tetapi mereka berjanji untuk menyelesaikan isu ini dengan secepat mungkin," katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 6:42pm
d