arena

Jawatankuasa Bertindak Permotoran diwujudkan

Oleh Saiful Affendy Sapran

PESURUHJAYA Sukan Malaysia (PJS) mengesahkan Jawatankuasa Bertindak Permotoran diwujudkan untuk menyelia dan mengurus hal ehwal sukan permotoran di negara ini susulan pembatalan pendaftaran Persatuan Automobil Malaysia (AAM) sebagai badan sukan bermotor di Malaysia.

PJS menerusi kenyataan berkata, jawatankuasa sementara itu ditubuhkan selepas mengadakan perbincangan dan mengadakan pertemuan dengan badan gabungan sukan permotoran di Malaysia.

"Jawatankuasa Bertindak Permotoran akan bertanggungjawab terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan sukan permotoran di Malaysia.

"Pelumba yang sudah mempunyai lesen perlumbaan AAM boleh meneruskan aktiviti sukan permotoran seperti biasa. "Jawatankuasa Bertindak Permotoran akan menjalankan fungsi AAM sebagai Badan Berkuasa Sukan Kebangsaan (ASN-FIA) dan Persekutuan Permotoran Kebangsaan (FMN-FIM) sehingga badan baru yang sah ditubuhkan," katanya.

Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman menerusi laporan Arena Metro berkata, beliau akan bertemu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam bagi mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa sementara yang akan ditubuhkan untuk mengambil alih tugas AAM.

Zaiton sebelum itu mengesahkan AAM sudah dibatalkan sebagai badan sukan sejak November tahun lalu kerana gagal mematuhi Akta Pembangunan Sukan 1997.

Katanya, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana AAM enggan bekerjasama walaupun selepas beberapa kali diberi surat peringatan dan tunjuk sebab sekali gus mereka tidak boleh menganjurkan, menjalankan, membenarkan atau menyertai apa-apa aktiviti termasuk pertandingan, acara atau forum yang sedang berlangsung bagi mana-mana sukan di dalam atau di luar negara.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 8:35pm
d