arena

Menang, jumpa lagi esok!

Oleh Saiful Affendy Sapran

SKUAD hoki negara mencatat kemenangan ketiga pada Piala Sultan Azlan Shah selepas menewaskan Kanada 3-2 di Ipoh, malam ini.

Meskipun perlawanan di Stadium Sultan Azlan Shah itu tidak memberikan sebarang makna kerana kedua-dua pasukan akan bertemu semula esok untuk penentuan tempat ketiga-keempat, anak buah Roelant Oltmans tetap mempamerkan permainan meyakinkan untuk menewaskan lawan mereka.

Skuad negara berada di depan seawal minit kelima selepas Firhan Ashari menolak masuk hantaran Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil dari luar kawasan D.

Namun Kanada yang menduduki ranking ke-10 dunia memperoleh gol penyamaan selepas Gordon Johnston menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-15.

Dua minit kemudian, Razie Rahim kembali meletakkan Malaysian Tigers di depan selepas menolak rendah sudut penalti ke penjuru kiri gawang gol lawan.

Pada minit ke-22, Johnston sekali lagi mengecewakan kem negara apabila menyamakan kedudukan selepas menolak ke penjuru kanan gawang gol skuad negara.

Seminit kemudian, skuad negara dihadiahkan penalti stroke yang kemudian disempurnakan pemain berpengalaman, Fitri Saari sekali gus menyaksikan Malaysia mendahului Kanada 3-2 selepas tamat babak pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan tidak banyak percubaan dilakukan oleh kedua-dua pasukan.

Kanada bersungguh-sungguh untuk mencari gol penyamaan pada suku terakhir namun skuad negara berjaya mempertahankan kedudukan 3-2 hingga tamat.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 10:57pm
d