arena

Melaka, Perak buntu jaringan

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA United gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri sebaliknya hanya mampu seri 0-0 dengan Perak pad aaksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Rehat hampir dua minggu susulan rehat tugasan antarabangsa menyaksikan kedua-dua pasukan bagaikan hilang punca untuk memecah kebuntuan.

Tempoh 40 minit pertama persembahan kedua-dua pasukan terlalu hambar dengan pergerakan bola lebih banyak berlegar-legar di kawasan tengah.

Anak buah jurulatih Mehmet Durakovic juga bagaikan kehilangan idea dan tidak mampu melakukan percubaan bahaya sepanjang babak pertama.

Sebaliknya skuad Hang Tuah menguasai lima minit terakhir separuh masa pertama menerusi dua percubaan bekas kapten kebangsaan Safiq Rahim pada minit ke-40 dan 45 namun sedikit tinggi melepasi palang gol pelawat.

Sementara rembatan kencang Anselmo Casagrande pada minit ke-44 berjaya ditepis keluar penjaga gol kebangsaan Hafizul Hakim Nizam Jotty untuk kedua-dua pasukan buntu mencetak jaringan.

Melaka kini mengumpul 11 mata selepas tujuh perlawanan untuk menghuni tangga kelima manakala Perak di tangga kelapan dengan tujuh mata. Ia keputusan seri keempat buat The Bos Gaurus dalam enam aksi.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 11:58pm
d