arena

Pusingan kedua Cub Prix diteruskan

Oleh BERNAMA

PUSINGAN kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019 akan diteruskan mengikut jadual di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang pada 13 dan 14 April ini.

Promoter Cub Prix Malaysia, Two Wheels Motor Racing (TWMR) Sdn Bhd berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan kerana bersetuju berkompromi dengan badan gabungan sukan permotoran bagi memastikan kesinambungan acara sukan permotoran di negara ini.

Ini berikutan pembatalan pendaftaran badan pengelola sukan pemotoran negara, Persatuan Automobil Malaysia (AAM) pada 30 November lalu.

TWMR, dalam satu kenyataan malam ini menyatakan kerjasama antara badan gabungan sukan permotoran negara dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan dapat memastikan acara sukan permotoran diteruskan dalam pelbagai kategori.

Berikutan pembatalan pendaftaran AAM, satu jawatankuasa permotoran sementara ditubuhkan bagi mengambil alih fungsi dan tanggungjawab AAM hingga badan pengelola baharu sukan permotoran negara dimuktamadkan.

Kejuaraan Cub Prix Malaysia sebanyak 10 pusingan bermula di Jasin, Melaka, Ahad lalu.

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 12:41am
d