arena

'Mana cukup RM3 juta'

Oleh Firdaus Hashim

KUALA LUMPUR: “Bukan RM3 juta sebaliknya lebih daripada itu. Mana mungkin RM3 juta sedangkan gaji pemain futsal Perlis yang dua bulan tidak dibayar juga sudah RM194,800. Itu belum dicampur pampasan lain,” kata bekas penolong jurulatih skuad futsal Perlis, Mohd Faiq Faudzil.

Bagi beliau, tuntutan RM3 juta Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) ke atas bekas presiden, Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie tidak menggambarkan keseluruhan kerosakan yang sudah dilakukan individu berkenaan.

Mohd Faiq berkata, jumlah RM3 juta itu pasti tidak cukup jika tunggakan gaji skuad Liga Super, skuad belia, skuad futsal, kos sewaan padang latihan, kos sewaan penginapan dan lain-lain diambil kira.

Semalam, Timbalan Presiden PFA, Mohamad Abdul Karim Khan Mansur Ahmad Khan memberi tempoh dua minggu kepada Amizal untuk membayar RM3 juta sebagai ganti rugi dan jika gagal, badan induk berkenaan akan memanjangkan kes itu ke mahkamah.

Mohd Faiq berkata, tindakan Amizal yang lari dan hilang begitu saja nyata menyusahkan ramai pihak terutamanya pasukan futsal yang terpaksa menganggur hingga kini.

“Peguam kami (mewakili pasukan futsal) sudah menyerahkan surat tuntutan gaji kepada PFA dan sekarang menunggu tindakan lanjut mereka.

“Mungkin jumlah RM3 juta yang dituntut Abdul Karim tidak termasuk pasukan futsal kerana PFA juga harus menjelaskan isu gaji pasukan Liga Super tahun ini serta pasukan tahun lalu. Jadi, hutang sebenar mungkin lebih daripada itu.

“Kami sendiri (pasukan futsal) ada cuba menghubungi beliau (Amizal), tapi tidak berjaya. Beliau enggan menjawab telefon atau membalas mesej kami. Beliau ghaib dan langsung buat tak tahu dengan kami yang sampai sekarang susah nak dapat kerja lain,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Difahamkan, jumlah tuntutan gaji dua bulan membabitkan 25 pemain dan tujuh jurulatih pasukan futsal mencecah RM194,800 selain turut menuntut pampasan baki kontrak ekoran kegagalan PFA meneruskan penyertaan dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) bermula bulan depan.

Sementara itu, pengarah syarikat media yang enggan mendedahkan namanya berkata, Amizal juga gagal menjelaskan bayaran perkhidmatan biarpun kerja-kerja untuk mempromosikan PFA sudah dijalankan.

“Sejak kami mulakan kerja dari November tahun lalu hingga Februari, kami langsung tak menerima bayaran atas kerja yang dilakukan. Bila kami bertanya, beliau selalu kata duit sangkut di bank dan perlukan masa untuk mengeluarkan duit itu.

“Tapi, hingga beliau meletakkan jawatan kami masih tidak menerima apa-apa bayaran. Walaupun kami cuba hubungi beliau, namun semuanya gagal kerana tidak mendapat kerjasama baik daripadanya. Mungkin jalan terakhir ialah membawa hal ini ke mahkamah bagi mendapat hak kami,” kata pengarah terbabit.

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 7:00am
d