arena

Lalu takluk Bukit Jalil [METROTV]

Oleh Azlan Muhammad Zain

JUARA remaja dunia 2018, Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia berada di kelas tersendiri apabila memenangi 100 meter(m) Grand Prix Terbuka Malaysia 2019 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Kuala Lumpur, hari ini.

Dia melakukan 10.20 saat untuk meninggalkan pencabar yang lain dengan atlet negara, Zulfiqar Ismail kedua dengan 10.41s manakala Wei Hsu Wang dari Taiwan meraih gangsa dengan 10.44s.

Bagaimanapun ia ibarat amaran awal kepada jaguh negara, Khairul Hafiz Jantan untuk mempertahankan emas Sukan SEA Filipina penghujung tahun ini.

"Saya jangka dia turut bersaing di sini... dia "musuh" utama kerana catatan masa terbaik kami adalah sama iaitu 10.18s.

"Saya tidak kecewa (tidak dapat bersaing dengan Khairul Hafiz) namun mendapat khabar dia cedera... semoga dia sembuh dan kami dapat bertemu di Sukan SEA nanti," katanya yang meletakkan sasaran ke Olimpik Tokyo.

Menurutnya, dia tidak meletakkan sebarang sasaran di Bukit Jalil namun lebih kepada melihat hasil latihan dan gembira dengan kejayaannya itu.

Pada saingan final itu, atlet negara lain jelas tidak mampu mencabar kepantasan yang dimiliki jaguh Indonesia berusia 19 tahun itu.

Saingan 100m wanita menyaksikan atlet Kyrgyzstan, Bulanova Anna muncul pemenang pingat emas dengan catatan 11.75s manakala pingat perak milik atlet Taiwan, Chia Chen Hu yang melakukan 11.89s.

Atlet negara, Siti Fatimah Mohamad meraih pingat gangsa dengan catatan 11.91s.

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 10:12pm
d