arena

Petak utama pertama, bukan terakhir

Oleh Reuters

CHARLES Leclerc meraikan petak utama sulung dalam karier Formula Satu di Bahrain awal pagi tadi dan ia melakar sejarah bersama Ferrari.

Pemandu termuda pasukan dari Itali itu sejak penampilan pemandu muda Mexico, Ricardo Rodriguez pada 1961, pemandu dari Monaco berusia 21 tahun itu menggantikan pelumba Belgium, Jacky Ickx (23 tahun pada 1968), sebagai pemandu termuda Ferrari memenangi petak utama.

Dengan muncul pemandu paling muda kedua sepanjang zaman memenangi petak utama, di belakang rakan sepasukan Sebastian Vettel yang mencatat rekod itu bersama Toro Rosso pada 2008 pada usia 21 tahun dan 73 hari, Leclerc muncul pemandu ke-99 memulakan perlumbaan F1 dari barisan depan lewat malam ini.

Vettel adalah juara dunia empat kali dan Leclerc kini berada di tengah-tengah pemandu Jerman itu dan juara dua kali Fernando Alonso dalam senarai pemenang petak utama termuda.

“Saya fikir kami gembira,” kata prinsipal pasukan Ferrari, Mattia Binotto. “Dia seorang budak yang baik dan saya fikir kami sayangkannya seperti kami sayangkan Sebastian. Ia sesuatu yang hebat buat pasukan, hebat buatnya.

“Ia tidak mungkin yang terakhir buatnya.”

GP Bahrain adalah perlumbaan kedua Leclerc bersama Ferrari selepas musim sulung di Sauber (kini Alfa Romeo) tahun lalu.

Juara F2 2017 itu dianggap sebagai juara F1 dalam pembikinan, cukup bagus buat pasukan itu menyingkirkan juara 2007 Kimi Raikkonen untuk memberi laluan kepadanya dan aksi awal pagi tadi membuktikan potensinya.

“Petak utama pertama satu impian yang anda tetapkan ketika muda. Ia hanya datang sekali jadi dia memang berhak meraihnya,” komen juara dunia lima kali Lewis Hamilton, yang memegang rekod F1 dengan 84 petak utama.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 12:11pm
d