arena

Ashleigh ungguli Terbuka Miami WTA

Oleh AFP

TRANSFORMASI Ashleigh Barty lengkap selepas pemain Australia itu menundukkan pilihan kelima dari Republik Czech, Karolina Pliskova 7-6 (7/1), 6-3 awal pagi tadi untuk memenangi kejuaraan perseorangan terbesar kariernya pada Terbuka Miami WTA.

Pemain berusia 22 tahun itu bersara daripada tenis lima tahun lalu selepas mendapati sukar menangani tekanan beraksi dalam jelajah, beralih kepada kriket profesional dalam usaha mencari keseronokan bersukan.

Ashleigh bagaimanapun sedar dia mempunyai kemahiran tenis untuk bersaing di peringkat tertinggi dan selepas kembali pada Februari 2016, berjaya melonjakkan kariernya ke tahap elit, meraih kejuaraan sulung WTA Premier Mandatory susulan kejayaan beregu pada Terbuka AS, September lalu.

Ashleigh, pemenang remaja Wimbledon pada usia 15 tahun, akan melonjak dari tangga ke-11 ke tangga kesembilan ranking dunia dan muncul pemain wanita pertama Australia sejak Samantha Stosur pada Jun 2013 untuk berada dalam kelompok 10 terbaik.

“Ia dua minggu yang luar biasa dalam perseorangan dan beregu,” kata Ashleigh, yang kalah aksi beregu wanita pada separuh akhir begandingan dengan Victoria Azarenka.

“Saya perlu bertindak secara fizikal, membalas sebanyak mungkin pukulan dan berlari ke sekitar gelanggang,” kata Ashleigh.

Kemenangan Ashleigh bermakna buat kali pertama ada 14 pemenang berbeza dalam 14 kejohanan WTA setakat ini musim ini.

Karolina, yang akan meningkat ke tangga keempat ranking di sebalik final mengecewakan, bergelut dengan servis dan pergerakannya selepas layak sekurang-kurangnya ke suku akhir dalam lima kejohanan terdahulu tahun ini.

“Saya terlalu letih dari segi fizikal dan mental tapi Ashleigh memang berhak menang hari ini,” kata Karolina.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 1:01pm
d