arena

Rezeki Tambadau tumbangkan Harimau Kumbang

Oleh Ryan Stanley

JELIUS Ating menganggap kemenangan 2-0 terhadap Pulau Pinang dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, malam tadi sebagai rezeki yang lebih memihak kepada mereka.

Bekas pemain berusia 48 tahun itu, berkata, perlawanan itu bukanlah mudah bagi mereka kerana skuad Harimau Kumbang juga bermain baik cuma nasib tidak menyebelahi mereka.

"Sebenarnya kita juga mampu mendapat lebih daripada dua gol tapi bagi saya, jumlah gol itu tidak begitu penting kerana apa yamg lebih penting ialah memenangi perlawanan sekali gus mengutip tiga mata," kata pengendali Sabah itu di Kota Kinabalu.

Jelius berkata, anak didiknya juga perlu diberi pujian kerana bekerja keras sepanjang permainan sehingga berjaya mencatat kemenangan.

"Mereka (pemain) bukan saja bekerja keras pada malam tadi tetapi juga di setiap sesi latihan dan mereka telah buktikan ianya berbaloi selepas mencatat kemenangan," katanya.

Sementara itu, pengendali Pulau Pinang, Kamal Khalid, berkata kegagalan pemainnya menggunakan peluang yang ada antara faktor kekalahan mereka.

"Bagi saya perlawanan agak seimbang, namun bezanya Sabah menggunakan peluang yang ada manakala Pulau Pinang sebaliknya.

"Ada dua faktor kekalahan kita iaitu yang pertama kita tidak manfaatkan peluang dan yang kedua kelemahan pengadil yang membenarkan gol kedua sehingga melemahkan semangat kami," katanya.

Pada perlawanan itu dua gol Luis Carlos Junior pada setiap babak memastikan kemenangan 2-0 skuad Tambadau terhadap Pulau Pinang.

Kemenangan itu membolehkan Sabah kini menghuni tangga teratas Liga Perdana dengan 14 mata hasil daripada empat kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 2:01pm
d