arena

Chelsea 'berpeluh' nak menang

Oleh Reuters

JARINGAN lewat sumbangan Cesar Azpilicueta dan Ruben Loftus-Cheek membantu Chelsea melengkapkan kebangkitan menakjubkan untuk menewaskan Cardiff City, 2-1 dalam saingan Liga Perdana, di Stadium Cardiff, malam ini.

Ketika keputusan menampakkan Chelsea akan dimalukan dengan kekalahan pasukan berada dalam kelompok tiga terbawah Cardiff, kapten pasukan Azpilicueta mengheret peluang pasukan berkenaan dalam perlawanan itu walaupun jaringan itu dilihat seperti ofsaid.

Pelawat kemudian melengkapkan kebangkitan menerusi pemain gantian Loftus-Cheek yang menanduk masuk gol kedua di sudut tepi tiang gol.

Chelsea kekal di kedudukan keenam dalam carta liga dengan 60 mata, menyamai pasukan di tangga kelima Arsenal yang kurang beraksi satu perlawanan dan satu mata di belakang Manchester United di kedudukan keempat.

Chelsea yang memulakan permainan tanpa bintang mereka, Eden Hazard dan pemain tengah N'Golo Kante berdepan kesukaran untuk menembusi kubu lawan dan gagal dalam percubaan menjaringkan gol di separuh masa pertama.

Lontaran jauh Aron Gunnarsson kepada penyerang Oumar Niasse kerap memberi masalah kepada pertahanan Chelsea pada perlawanan itu.

Pelawat gagal untuk menyerap serangan tuan rumah terutama di dalam kotak berhampiran tiang gol sehingga membolehkan pemain tengah Harry Arter menolak bola kepada Victor Camarasa, yang menjaringkan gol pertamanya di sudut penjuru tiang gol sebaik babak kedua bermula.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 12:06am
d