arena

Jelik? Klopp tak peduli

Oleh AFP

JUERGEN Klopp mengakui beliau tidak peduli kemenangan dramatik 2-1 Liverpool ke atas Tottenham satu cara “jelik” untuk kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris.

Pasukan Klopp mendahului menerusi gol tandukan Roberto Firmino pada babak pertama namun Lucas Moura menyamakan kedudukan selepas rehat.

Tottenham mendominasi namun mensia-siakan beberapa peluang sebelum Liverpool memastikan tiga mata pada masa kecederaan.

Tandukan Mohamed Salah ditampan penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris sebelum terkena Toby Alderweireld dan menggolek masuk ke gol sendiri.

Reds nyata bernasib baik namun Klopp tidak merungut mengenai keputusan yang meletakkan mereka dua mata di depan pasukan tangga kedua Manchester City.

“Pada babak pertama kami mempunyai peluang fantastik dan menjaringkan gol menarik. Pada babak kedua kami kelihatan berat dan tidak boleh bermain sebaik mungkin,” ujar Klopp.

“Tottenham berubah sedikit. Kami gagal menyesuaikan diri. Saya tidak gembira kami melepaskan gol tapi selepas gol Spurs kami bermain dengan baik semula.

“Kami boleh bermain dengan baik tapi pada babak pertama kami banyak mempunyai saat bagus. Pada separuh masa kedua ia tidak banyak tapi kami menjaringkan gol – 2-1, cemerlang!

“Saya hanya nampak tandukan itu. Saya tak tahu macam mana bola masuk.

“Itulah yang positif. Saya katakan sebelum ini ada 500 cara untuk memenangi perlawanan bola sepak dan hari ini ia agak jelik. Siapa peduli?”

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 7:25am
d