arena

Rayzam tak 'manja' [METROTV]

Oleh Syazwan Msar

“SEBENARNYA saya menunggu lebih dua jam hanya untuk buat imbasan x-ray bukannya sejam malah apabila perkara itu tular di media sosial baharulah doktor datang melihat tahap kecederaan tangan,” kata atlet 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian.

Rayzam berkata, dia bukannya ‘manja’ atau mahukan layanan istimewa namun dengan keadaan terpaksa menanggung kesakitan hinggakan terasa mahu pitam menyebabkan dia terpaksa meminta ‘pertolongan’ netizen bagi mempercepatkan proses rawatan.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu meminta bantuan isteri Eriyana Idris supaya memuat naik status di Facebook berkaitan kelewatannya mendapatkan rawatan selepas menunggu lama.

“Sebaik tiba di hospital saya hanya diminta untuk menunggu tanpa rawatan susulan dan selepas beberapa jam dengan keadaan terpaksa menanggung kesakitan serta pening seterusnya saya minta bantuan isteri untuk memuat naik status itu.

“Saya beranggapan kemungkinan dengan cara terbabit akan mempercepatkan proses rawatan dan ternyata kaedah terbabit berkesan apabila doktor yang sebelum itu dilihat hanya duduk saja segera melihat kecederaan tangan,” katanya, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.

Sebelum itu, Rayzam mempertikaikan tindakan pihak hospital berikutan kecederaan serius yang dialaminya di kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia, semalam.

Menerusi laman Facebook peribadinya selepas kejadian menimpa malam tadi, Rayzam mengeluh kerana lambat menerima rawatan dengan ‘posting’ berkenaan dibuatnya di Hospital Serdang.

Menurutnya, dia tidak mampu menahan sakit selain ingin pitam, apatah lagi apabila terpaksa menunggu kira-kira satu jam untuk mendapatkan imbasan x-ray.

Sementara itu, Rayzam juga mengakui terpaksa melupakan Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Doha, Qatar, dalam waktu terdekat ini walaupun ia pentas terbaik memperbaiki rekod peribadinya.

“Mungkin rawatan akan mengambil masa empat hingga enam minggu menyebabkan saya terpaksa melupakan ATF dan fokus kepada rawatan serta pemulihan kecederaan tangan.

“Tumpuan sebenar saya adalah lebih kepada Sukan Sea pada hujung tahun ini kerana ia sebagai persiapan untuk ke Olimpik pada tahun depan,” katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 10:19pm
d