arena

Ejat sedia beraksi

Oleh Asrol Awang

ZUHAIR Aizat Mohd Nazri yang cemerlang ketika membantu skuad Pahang menewaskan FELDA United FC 3-1 kelmarin, mahu terus diberi peluang beraksi pada pusingan kedua Piala FA. 

Pemain tengah skuad Tok Gajah itu berkata, dia semakin yakin dengan prestasi dan sedia disenaraikan untuk melayan kunjungan kelab amatur, PIB FC di Stadium Darul Makmur, Rabu ini.

"Saya tiada masalah untuk diturunkan sebagai pemain utama dan terpulang kepada keputusan jurulatih, (Dollah Salleh) untuk membuat keputusan.  "Setakat ini, saya berpuas hati dengan prestasi semasa dan jika terus diberi peluang, saya akan melakukan yang terbaik," kata pemain berumur 23 tahun itu.

Kelmarin, Zuhair Aizat atau Ejat membanggakan Dollah apabila disenaraikan dalam kesebelasan utama buat kali pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

Ketiadaan dua pemain tengah, Nor Azam Azih dan Saddil Ramdani juga memberi peluang buat Zuhair Aizat mempamerkan kebolehan.

Ditanya peluang menyekat PIB FC Rabu ini, dia berkata, skuad itu tidak boleh memandang rendah keupayaan kelab dari Selangor itu.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 10:48pm
d