arena

Azpilicueta seru rakan sepasukan bersatu

Oleh AFP

CESAR Azpilicueta menyeru rakan sepasukannya supaya menunjukkan sokongan terhadap Maurizio Sarri selepas peminat kelab itu menuntut pemecatan pengurus itu ketika Chelsea bangkit mencatat kemenangan di Cardiff.

Jaringan lewat Azpilicueta dan Ruben Loftus-Cheek menyelamatkan Chelsea daripada kekalahan dan menghidupkan peluang untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Namun kemenangan dramatik itu tidak dapat menampung persembahan buruk Chelsea yang menyaksikan segelintir penyokong mula menyuarakan kekecewaan terhadap Sarri dan mahu pengurus dari Itali itu disingkirkan.

Sarri mengakui dia memahami reaksi peminat selepas aksi kurang meyakinkan di gelanggang lawan sebelum berakhir dengan kemenangan 2-1, “mungkin lebih baik untuk mereka tunggu sehingga perlawanan selesai.”

Pengendali Itali itu turut meningkatkan kemarahan peminat sebelum sepak mula perlawanan apabila meletakkan Eden Hazard dan N'Golo Kante di bangku simpanan selain gagal memberikan pemain muda England, Callum Hudson-Odoi penampilan sulung dalam kesebelasan utama di Liga Perdana.

Chelsea akan melayan kunjungan Brighton pada Rabu dan kapten pasukan Azpilicueta berkata: “Kami harus memberikan peminat apa yang mereka jangkakan dan pada tempoh yang sukar, kami semua perlu bersatu padu,”

“Kami tidak gembira dengan cara kami bermain dan kami kehilangan banyak mata, terutama di gelanggang lawan.

“Kita semua berada dalam kapal yang sama dan akan terus berusaha ke arah yang sama.

“Saya tahu peminat mahu kami menang, dan apabila tidak mendapat keputusan yang diharapkan, kami semua bertanggungjawab.

“Mereka menunjukkan perasaan mereka tetapi kerja kami adalah terus bekerja keras.”

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 11:57pm
d