arena

Sarri usaha curi hati peminat

Oleh AFP

MAURIZIO Sarri berdepan satu lagi episod kurang kepercayaan daripada penyokong Chelsea sekiranya pengendali dari Itali itu gagal meningkatkan aksi longlai pasukannya apabila berdepan Brighton, awal pagi Khamis ini.

Sarri menjadi subjek kecaman penyokong Blues di Cardiff, kelmarin sebagai reaksi prestasi buruk pasukan yang hanya diselamatkan oleh dua jaringan lewat enam minit sebelum tamat.

Ketinggalan 0-1 pada babak kedua selepas dicabar hebat pasukan bawahan Liga Perdana Inggeris itu, Chelsea dicemuh dengan slogan ‘anda tidak tahu apa yang anda lakukan’ dan ‘kami mahu Sarri keluar’ daripada sebahagian kecil penyokong mereka.

Pemain bintang Chelsea yang beraksi di bawah tahap sebenar akhirnya bangkit menjaringkan gol menerusi jaringan ofsaid Cesar Azpilicueta dan Ruben Loftus-Cheek bagi melakar kemenangan 2-1.

Sejak kemenangan bergaya 2-0 ke atas Tottenham, skuad kendalian Sarri menagih sentuhan cemerlang daripada penjaga gol, Kepa Arrizabalaga untuk menewaskan Fulham 1-0, selain memerlukan jaringan lewat Eden Hazard untuk mengikat Wolves 1-1.

Mereka kemudiannya tumpas 0-2 di tangan Everton diikuti persembahan tidak memberangsangkan di Cardiff dengan Blues dilihat mendominasi permainan tetapi buntu untuk mencipta serangan berbahaya.

Sarri dipersalahkan atas persembahan hambar itu terutamanya membabitkan aspek posisi pemain dengan N’Golo Kante dan Hazard banyak diarahkan beraksi di luar posisi kebiasaan.

Berbaki tujuh aksi liga, mereka ketinggalan satu mata di belakang pasukan tangga keempat, Tottenham dan kapten Chelsea, Azpilicueta menggesa rakan sepasukannya tampil lebih bersemangat menentang Brighton.

“Kami perlu melihat diri sendiri dan jika kami mahu mencapai sasaran kami perlu tingkatkan prestasi,” katanya.

“Untuk aksi Rabu ini sejak minit pertama kami perlu mencipta suasana hebat di padang. Saya pasti penyokong akan berada di belakang saya, tapi kami kena bagi apa yang mereka harapkan - semangat melawan, bola sepak menarik dan jaringkan gol.”

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 1:11pm
d