arena

Rayzam perlu enam minggu untuk pulih

Oleh Syazwan Msar

KETUA jurulatih olahraga, Zainal Abas menjangkakan atlet 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian memerlukan masa sekurang-kurangnyanya enam minggu untuk pulih.

Zainal berkata, pihaknya akan mengikuti perkembangan terkini Rayzam termasuk mendapatkan laporan perubatan daripada doktor merawatnya di Kota Kinabalu sebelum membenarkannya mengikuti latihan seperti biasa.

Katanya, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu terpaksa melupakan Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Doha, Qatar yang akan berlangsung dua minggu lagi.

“Namun, kita menjangkakan dia sempat menjalani latihan di Jerman di bawah kendalian jurulatihnya, Janmay pada Jun nanti.

“Pada masa sama, dia mungkin boleh menjalani latihan ringan dan rawatan fisioterapi akan dikendalian pakar di Institut Sukan Negara (ISN) selepas ini,” katanya, kepada Arena Metro.

Rayzam terjatuh selepas kakinya terkena palang ketika beraksi pada kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia, minggu lalu.

Kecederaan itu menyebabkan pelari berasal dari Keningau, Sabah itu terpaksa menggunakan tangannya untuk menahan impak ketika terjatuh.

Tindakan itu menyebabkan dia mengalami kecederaan lengan kanan, patah di tulang radius dan tulang ulna pula terkehel.

Sementara itu, Rayzam berkata, dia optimis mampu mencatatkan catatan 13.7s pada kejohanan terbabit namun nasib tidak menyebelahinya apabila terjatuh hingga menyebabkan tangannya patah.

"Walaupun saya baru buat di Terbuka Singapura pada minggu lalu dengan catatan 13.82s, naluri saya kata boleh buat 13.7s masa itu.

Kalau tengok kembali rakaman video, jurulatih saya pun katakan yang serupa dan percaya saya dapat lakukan masa 13.7s," katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 1:54pm
d