arena

Farah sedia sekat jaguh Asia

Oleh Saiful Affendy Sapran

WALAUPUN melalui jadual yang padat, penjaga gol skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya tetap bersemangat untuk menyarung jersi Malaysian Tigress dalam menghadapi lima siri perlawanan persahabatan dengan pasukan nombor satu Asia, India.

Farah tiba di Malaysia kelmarin selepas membantu East Grinstead mencatat kemenangan 3-2 ke atas Clifton Robinsons pada perlawanan terakhir Liga Hoki England, Sabtu lalu.

Dia akan kembali semula ke England 12 April ini untuk beraksi dalam pusingan kalah mati.

"Sebagai atlet memang kita kena berkorban masa sedikit terutamanya untuk skuad kebangsaan.

"Lagi pun saya rasa bagus juga apabila dapat beraksi pada perlawanan persahabatan ini untuk persediaan ke Pusingan Akhir Siri FIH di Dublin, Jun depan.

"Apapun saya bersedia untuk diturunkan bertemu India," katanya.

Farah yang juga anggota polis berkata, selain perlu mempersiapkan diri beraksi menentang India, dia juga akan mengambil peperiksaan undang-undang.

"Peperiksaan itu berlangsung pada April dan September saja. Jadi saya ambil peluang ini untuk menghadapi peperiksaan," katanya.

Skuad negara akan menghadapi lima perlawanan persahabatan dengan India bermula Khamis ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Ia adalah perlawanan kompetitif pertama yang bakal diharungi anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah sejak kali terakhir pada temasya Sukan Asia di Indonesia, Ogos tahun lalu.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 6:24pm
d