arena

Ozil kembali disayangi penyokong... [VIDEO]

Oleh Twitter/Youtube

MESUT Ozil kembali membina hubungan baik dengan penyokong Arsenal selepas kerap menerima kecaman berikutan penurunan prestasi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain tengah itu mendapat kepercayaan mereka selepas dipilih Pemain Terbaik Perlawanan ketika Arsenal mengatasi Newcastle 2-0 di Emirates, awal pagi tadi.

Bercakap pada sesi temu ramah selepas perlawanan menyaksikan Gunners melonjak ke tangga ketiga EPL, pemain Jerman itu tersenyum sinis apabila Gunners memintas musuh ketat, Tottenham.

Ozil berkata: “Sasaran kami adalah menempatkan diri dalam empat kelompok teratas. Sudah tentu kami gembira berada di hadapan Tottenham.

“Ia sentiasa sengit bersama mereka tetapi jika kami bermain seperti tadi, memang kami mahukan kemenangan dan meraih tiga mata untuk empat teratas pada penghujung musim.

“Kami gembira. Sasaran adalah mendapatkan tiga mata, bermain dengan baik dan saya mahu ucap tahniah kepada semua rakan sepasukan. Kami semua gembira.”

Malah, penyokong Arsenal turut ceria selepas Ozil tersenyum ketika bercakap mengenai Spurs.

Seorang penyokong menyatakan: “Mesut mengatakan dia gembira kami berada di atas Tottenham. Dia Gooner. Benar-benar Gooner.

“Saya sukakannya. Saya benar-benar suka Mesut Ozil. Persembahan hebat pada perlawanan itu.”

Seorang lagi peminat melabelkan pemain No 10 itu benar-benar 'King': “Ozil tersenyum ketika ditanya wartawan penyiaran itu memberitahu Arsenal di tangga ketiga di atas Tottenham tetapi dia sudah mengetahuinya!”

Ozil dalam diam kembali menyerlah bersama Arsenal sepanjang 2019.

Skuad Unai Emery masih belum tewas setiap kali pemain berusia 30 tahun itu turun bersama skuad kelab London utara itu.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 7:43pm
d