arena

Momota, Shi Yuqi mara ke pusingan kedua

Oleh BERNAMA

PEMAIN nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun mara ke pusingan kedua selepas diberikan tentangan sengit oleh pemain bukan pilihan, Jan O Jorgensen dari Denmark pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia.

Momota terpaksa berhempas pulas selama hampir sejam sebelum menewaskan Jorgensen, 20-22, 21-13, 21-11 pada perlawanan pusingan pertama kejohanan itu yang berlangsung di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil, hari ini.

Pemain Jepun itu dijadual berdepan pemain Indonesia, Jonatan Christie pada Khamis ini.

Christie mara ke pusingan kedua selepas mudah menumpaskan Brice Leverdez dari Perancis, 21-12, 21-12.

Sementara itu, pemain nombor dua dunia, Shi Yuqi dari China juga terpaksa mengerah segala keringat sebelum menewaskan pemain bukan pilihan, Sameer Verma dari India, 22-20, 21-23, 21-12.

Shi Yuqi akan menentang Anders Antonsen dari Denmark pada pusingan kedua.

“Pusingan pertama sentiasa sukar...di set kedua saya berasa kurang selesa. Saya sepatutnya boleh menang di set kedua tetapi terlalu gopoh.

Perlawanan yang sengit kerana lawan saya tidak berputus asa dan beraksi dengan baik hari ini,” kata Shi Yuqi kepada pemberita selepas perlawanan.

Dalam pada itu, rakan sepasukannya, Chen Long hanya mengambil masa 35 minit untuk mengalahkan Hans-Kristian Solberg Vittinghus dari Denmark, 21-13, 21-9, dan akan berdepan Kantaphon Wangcharoen dari Thailand.

Untuk rekod, Chen Long tewas kepada Wangcharoen pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, tahun lepas.

Wangcharoen menempah slot ke pusingan kedua selepas mudah menumpaskan pemain profesional negara, Liew Daren; 21-10, 21-15 dalam aksi pusingan pembukaan.

“Saya gembira memenangi perlawanan ini, tetapi perlu berusaha untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang di sini.

Saya jangka perlawanan seterusnya bertambah sengit. Saya ada satu hari rehat dan berharap dapat menampilkan aksi terbaik pada perlawanan Khamis ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 10:46pm
d