arena

Pochettino taruh kepercayaan kepada Lloris

Oleh AFP

MAURICIO Pochettino tetap menaruh kepercayaan kepada Hugo Lloris sebagai penjaga gol utama Tottenham walaupun pemain itu melakukan beberapa kesilapan yang memberi kesan besar buat pasukan musim ini.

Lloris menjadi mangsa kritikan selepas kegagalannya menangkap bola dengan kemas menyebabkan Toby Alderweireld menyumbat gol sendiri pada minit akhir perlawanan ketika kekalahan 2-1 Tottenham di Liverpool, Ahad lalu.

Ia bukan pertama kali dalam musim ini kapten Tottenham itu melakukan kesilapan yang berakhir dengan kekecewaan kepada pasukannya.

Tetapi bos Spurs, Pochettino tetap menaruh kepercayaan kepada pemain yang memenangi Piala Dunia bersama Perancis itu.

Pochettino mengesahkan Lloris mengalas tugas penjaga gol utama pada perlawanan pertama Tottenham di stadium baru mereka menentang Crystal Palace awal pagi esok.

“Dia (Lloris) adalah kapten saya. Dia antara penjaga gol terbaik di dunia. Tidak diragui kemampuannya,” kata Pochettino.

“Tidak diragui lagi bahawa Hugo (Lloris) adalah antara penjaga gol terbaik dan dia akan menjaga gawang gol.

“Ia adalah situasi yang sangat mengecewakan kerana saya fikir kami berhak melakukan sebaliknya (di Liverpool) tetapi pada situasi sedemikian, ia berlaku pada bola sepak, hanya menjadi pasukan lebih kuat dan menaruh kepercayaan kepada kemampuan pemain.

“Saya fikir Hugo akan menjadi seperti, kebiasaannya, hebat kepada kami. Dia sangat hebat pada kami.

“Dia sangat penting dalam semua proses sepanjang lima tahun ini dan sudah pasti dia akan menjadi antara pemain yang penting untuk masa depan kelab ini juga.”

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 12:59am
d