arena

Neymar kembali berlatih hari ini

Oleh AFP

BINTANG Paris Saint-Germain, Neymar akan kembali turun berlatih hari ini bagi “ujian di padang” selepas dua setengah bulan berehat kerana kecederaan kaki, menurut kelab itu semalam.

Pemain termahal dunia itu diketepikan sejak terhincut-hincut ketika kemenangan Piala Perancis ke atas Strasbourg pada 23 Januari lalu, sekali gus tidak dapat bermain apabila PSG kalah di tangan Manchester United pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

“Proses pemulihan @Neymarjr daripada kecederaan berjalan lancar dan dia akan kembali berlatih Rabu (hari ini) seperti dijadualkan bagi ujian di padang,” menurut PSG dalam akaun Twitter.

“Pakar perubatan kelab akan menjalankan pemeriksaan penuh perubatan dan radiologi dalam masa dua minggu lagi.”

PSG berharap Neymar boleh pulih sepenuhnya untuk kembali beraksi bagi potensi suku akhir Liga Juara-Juara hujung bulan ini namun kelab Perancis itu mengalami kekalahan memalukan apabila United secara sensasi mengatasi defisit 0-2 aksi pertama.

Pemain berusia 27 tahun itu mungkin disasarkan kembali bagi final Piala Perancis pada 27 April depan, sekiranya PSG mengatasi Nantes pada separuh akhir, awal pagi esok.

Jurulatih Thomas Tuchel berkata semalam, PSG juga tidak dapat menurunkan Edinson Cavani, Angel Di Maria dan Thomas Meunier menentang Nantes.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 12:52pm
d