arena

'TRW boleh menang tapi hilang fokus...'

Oleh Attirmidzie Rahman

PENGENDALI Kelantan, Marco Kraljevic sangat kecewa dengan pemainnya yang masih dibelenggu 'penyakit' mudah hilang fokus selepas pasukannya dibelasah 3-0 Selangor dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Kraljevic berkata, keputusan itu membuktikan keyakinan dan semangat pemainnya mudah luntur terutama pada minit akhir permainan walaupun mampu bertahan seketika pada separuh masa pertama permainan.

Katanya, dia kecewa banyak peluang terhidang tidak dimanfaatkan jentera serangan diketuai Mustafa Zazai terutamanya pada separuh masa pertama permainan.

"Sepatutnya Kelantan boleh menang perlawanan ini dan mampu menyaingi kehebatan pasukan berstatus Liga Super.

Namun kecuaian pertahanan memberi peluang pihak lawan menjaringkan tiga gol pada minit akhir permainan.

"Saya akan bersemuka dengan pemain selepas ini untuk memperbaiki beberapa kelemahan terutama mengatasi penyakit mudah hilang fokus ketika lawan membuat serangan balas," katanya selepas perlawanan itu.

Ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan berkata, kejayaan menewaskan The Red Warriors (TRW) pencapaian baik anak buahnya.

"Saya sangat berpuas hati dengan kemenangan 3-0 di Kota Bharu walaupun ia perlawanan sukar.

Kemenangan melayakkan Selangor ke pusingan ketiga Piala FA menentang Melaka United (MU).

"Saya juga berpuas hati dengan prestasi pemain seperti Syazwan Zainon dan Faiz Nasir yang mampu menjaringkan gol selepas segala perancangan diikuti sebaiknya," katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 1:12pm
d