arena

McLaren selangkah ke depan

Oleh Reuters

JUARA Formula Satu dunia dua kali, Fernando Alonso menguji kereta McLaren 2019 buat kali pertama semalam dan mengesahkan ia selangkah ke depan berbanding musim terakhirnya berlumba tahun lalu sebelum meninggalkan sukan itu.

Pemandu Sepanyol berusia 37 tahun itu kali terakhir memandu kereta F1 November lalu namun dia berada di litar Bahrain dengan peranan menguji tayar selain memandu kereta baru dan kemudian memberikan maklum balas.

“Kereta ini satu langkah ke depan dalam setiap aspek berbanding tahun lalu,” katanya.

“Ia mempunyai lebih cengkaman, lebih laju di litar lurus, enjin juga lebih baik, jadi secara keseluruhan sebagai satu pakej kereta ini menuju ke arah yang betul dan kami semakin hampir untuk berada di depan.

“Anda lihat dalam dua perlumbaan pertama masih ada satu langkah jika anda mahu bersaing dengan tiga pasukan utama, tapi sebagai langkah pertama saya fikir ia satu asas bagus dan satu program pembangunan yang baik.”

Bekas juara McLaren meraih mata pertama mereka musim ini di Bahrain, Ahad lalu apabila pemandu rookie dari Britain, Lando Norris berakhir di tangga keenam.

Pemandu berusia 19 tahun itu layak dalam kelompok 10 teratas bagi kedua-dua perlumbaan setakat ini.

Pemandu Sepanyol, Carlos Sainz tidak menamatkan kedua-dua perlumbaan namun layak di tangga ketujuh di Bahrain.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 1:57pm
d