arena

Chanturu lega jaringan pastikan The Fighters mara

Oleh Asrol Awang

PEMAIN tengah FELDA United FC, S Chanturu teruja kerana jaringannya pada lewat perlawanan membantu kelab itu menewaskan Kuching FA 1-0 semalam, sekali gus layak ke pusingan ketiga Piala FA. 

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan itu memberi motivasi kepadanya untuk bermain dengan lebih baik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. 

"Saya gembira kerana gol minit-minit akhir memastikan The Fighters ke pusingan ketiga Piala FA dan ia adalah jaringan pertama saya musim ini.  "Namun, kejayaan dicapai hasil semangat dan kerjasama rakan sepasukan tidak berputus asa untuk mencatat kemenangan dan meletakkan FELDA United pada kedudukan terbaik dalam saingan Piala FA musim ini," katanya. 

Mengulas jaringan pertama dalam Liga M musim ini, Chanturu berkata, prestasi terbaik itu harap berterusan apabila pasukan itu fokus dalam saingan Liga Super, Jumaat ini. 

Katanya, lebih-lebih lagi, kelab itu akan bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang memiliki barisan pemain yang berpengalaman. 

"Bagi saya, bertemu JDT yang memiliki reputasi besar dalam saingan Liga M, khususnya Liga Super memerlukan kami bekerja keras dan kekal fokus sepanjang perlawanan. 

"Ini kerana musim ini The Fighters hanya pasukan yang sederhana dari segi barisan pemain.

Tapi, jika kami mampu mengutip satu mata di Larkin, ia sudah cukup membanggakan," katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 4:10pm
d