arena

Melaka sambar 6 pemain Sabah

Oleh Nazri Abu Bakar

PASUKAN bola sepak wanita Melaka United (MU) menyenaraikan enam pemain Sabah bagi membarisi skuad Piala Tun Sharifah Rodziah musim ini.

Pengurus MU, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah, berkata enam pemain terbabit antara pemain terbaik di negara ini yang turut membarisi skuad Borneo bagi saingan sama musim lalu.

Katanya, mereka yang menjadi ‘musuh’ MU pada saingan separuh akhir 2018 di Stadium Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya menyertai skuad Hang Tuah menjelang kejohanan yang membuka tirai saingan pada 20 April ini di Gambang, Pahang.

Menurutnya, pengalaman luas pemain berkenaan bakal memperkasa pasukan dalam misi menjulang kejuaraan selepas sekadar muncul naib juara musim lalu.

“Kali ini kami yakin mampu untuk menjuarai kejohanan menerusi persiapan rapi yang diatur termasuk menjalani sesi latihan dan beberapa perlawanan persahabatan.

“Pada aksi persahabatan terbaharu, kami berjaya mengatasi Selangor 1-0 di Stadium Hang Tuah.

Kemenangan terbabit memberi gambaran wajah baharu yang bakal ditampilkan,”katanya.

Dr Siti Faidul Maisarah berkata, kehadiran pemain terbaik dalam skuad kali termasuk beberapa pemain kebangsaan selain enam bintang Sabah antara kelebihan moral buat pasukan bersaing di kejohanan berkenaan.

Dia amat mengharapkan skuad bimbingan jurulatih, Jamil Hassan akan menebus kehampaan tewas pada aksi final di tangan Kedah pada musim lalu.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 4:44pm
d