arena

PKNP bangkit atasi Batu Dua

Oleh Malik Muhamad

PASUKAN Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC bangkit daripada ketinggalan sebelum berjaya merakam kemenangan 2-1 menumpaskan Batu Dua FC dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, hari ini.

Skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim harus berterima kasih kepada pemain importnya, Giancarlo Rodrigues apabila pemain itu meledak dua gol buat pasukannya untuk mara ke pusingan ketiga.

Skuad berpangkalan di Perak itu mula menguji kubu lawan m-12 menerusi percubaan Muhammad Fadhil Idris yang mudah ditangkap penjaga gol, Mohd Zamir Selamat.

Enam minit selepas itu Mohd Zamir sekali lagi bertindak cemerlang menyelamatkan daripada dibolosi apabila menghalang rembatan kencang pemain sayap PKNP, M Ganesan.

Bagaimanapun hasil serangan balas, skuad Batu Dua FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Mohd Rizua Shafiqi.

Dia melepasi perangkap ofsaid sebelum menggelecek penjaga gol, Amar Asyraaf Omar m-33.

PKNP yang menumpaskan Kuala Lumpur minggu lalu memperkemaskan rentak permainan berjaya mendapat gol menerusi Rodrigues yang menyamakan kedudukan 1-1 pada m-59.

Skuad Batu Dua FC tidak mahu mengalah dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya termasuk bola percubaan bekas pemain Terengganu, Mohd Asrol Ibrahim singgah di tiang gol m-64.

Berpunca daripada sepakan sudut m-69, Rodrigues menjaringkan gol kedua peribadi selepas melakukan kuisan untuk gol kemenangan pasukannya.

Biarpun tewas, Batu Dua FC yang beraksi dalam saingan Liga M3 musim ini seharusnya berbangga hanya tewas tipis kepada skuad Liga Super itu.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 8:13pm
d