arena

Makin ganas!

Oleh Syazwan Msar

“KAMI diugut dan diancam, malah pernah juga individu terbabit menghantar samseng ke rumah hanya kerana tidak berpuas hati pemain membuat aduan menuntut gaji tertunggak,” kata seorang bekas pemain Terengganu City FC (TCFC) mengenai kewujudan ‘penyamun’ dalam bola sepak negara.

Dia yang enggan dikenali kerana khuatir keselamatannya terancam berkata, pemain TCFC dan Hanelang FC tidak berani untuk membuat laporan polis, mengadu kepada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Perstuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membongkar identiti sebenar penyamun terbabit.

“Ada juga pemain terima cek tendang dan apabila mempersoalkan tindakan itu, individu berkenaan mengugut untuk mencari pemain itu atau menghantar ‘orang’ bagi melakukan perkara tidak baik.

“Mujurlah akhirnya ada juga pihak yang berani membongkarkan taktik penyamun terbabit yang menggunakan kedudukan dan pengaruh untuk membuat ‘onar’ dalam industri bola sepak Terengganu dan negara,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, Arena Metro melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga individu yang layak digelar ‘penyamun’ kerana menjadi punca masalah tunggakan gaji hampir RM5 juta membabitkan empat kelab, Marcerra United, Kuantan FA, Hanelang dan Terengganu City FC.

Individu terbabit didapati mempunyai kaitan dengan kelab ‘ghaib’ yang tidak lagi beraksi dalam Liga Malaysia selepas digantung FAM akibat masalah berkenaan.

Namun, FAM berdepan kekangan untuk menyelesaikan masalah terbabit apabila bekas pemain empat kelab berkenaan enggan membuat aduan berkaitan kewujudan individu itu kepada FAM.

Sementara itu, bekas pemain Kuantan FA yang dikenali sebagai Daud berkata, penyamun berkenaan tidak gentar dikenakan tindakan undang-undang dan tetap dengan pendirian enggan membayar tunggakan gaji.

“Situasi berkenaan sudah berlanjutan tiga tahun, namun sehingga kini saya belum terima tunggakan lebih 10 bulan daripada Kuantan FA.

“Kami sedia buat laporan rasmi kepada FAM dan PFAM untuk membongkarkan identiti sebenar penyamun terbabit supaya dikenakan tindakan segera sekali gus mengekang daripada terus merosakkan pasukan lain,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 11:14am
d