arena

Puas dapat singkir Tambadau

Oleh Attirmidzie Rahman

PENOLONG jurulatih Kelantan United FC, Sazami Shafii gembira dengan pencapaian barisan pemainnya yang mencipta kejutan menyingkirkan Sabah 1-0 pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Katanya, keputusan itu membuktikan pasukan Liga M3 juga mampu melakar kemenangan dengan pasukan berstatus Liga Perdana yang menggunakan empat barisan pemain import manakala Kelantan United FC hanya menggunakan seorang khidmat awang import Carlos Zozimar.

"Saya memberi pujian kepada semua pemain atas kesungguhan untuk menjaringkan gol dan mempertahankan gawang dari dibolosi sehingga tamat permainan.

"Bagaimanapun pasukan tidak boleh leka dengan keputusan ini, kerana perlu lebih fokus perlawanan pusingan ketiga yang akan menentukan kedudukan dalam saingan Piala FA musim ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan malam tadi, Kelantan United FC terlebih dahulu mengasak kubu pelawat dan mendapat jaringan pertama menerusi sepakan percuma Fakhrul Zaman Wan Zawawi pada minit keenam.

Pasukan tuan rumah yang kerap diasak pelawat mampu bertahan dengan baik untuk kekal dengan jaringan 1-0 hingga tamat perlawanan.

Sementara itu, Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating berkata, kegagalan menewaskan Kelantan United FC satu kesilapan besar anak buahnya yang gagal manfaatkan banyak peluang.

Katanya, sepatutnya Sabah boleh memenangi perlawanan ini apabila menguasai sepenuhnya perlawanan.

"Saya dapati barisan pemain mudah hilang keyakinan dan fokus terutama jentera serangan yang banyak mempersiakan peluang terhidang di depan pintu gol tuan rumah.

"Apapun, saya menerima kekalahan ini dengan hati terbuka dan beberapa kelemahan bahagian tertentu pasukan akan diperbaiki selepas ini," katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 12:11pm
d