arena

'Zii Jia belum stabil macam Chong Wei'

Oleh Ferzalfie Fauzi

KETUA jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengakui bahawa jurang antara Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia masih jauh.

Malah kata-kata Misbun hadir selepas pemain muda negara itu tersingkir awal di Terbuka Malaysia.

Menurutnya, Zii Jia belum melalui pengalaman bermain banyak kejohanan seperti dilakukan oleh Chong Wei setakat ini.

"Nama Zii Jia mungkin orang sudah kenal tetapi dari aspek permainan, dia masih belum stabil," kata Misbun selepas Zii Jia tumpas kepada Suppanyu Avihingsanon dari Thailand 21-17, 19-21, 21-15, semalam.

Berdasarkan ranking sekarang Zii Jia memang pemain nombor satu negara namun dari segi prestasi dan pengalaman pemain kelahiran Kedah itu jelas sekali ketinggalan jauh di belakang bekas pemain nombor satu dunia itu.

Zii Jia, juara Terbuka Taiwan 2018 ketika ini menghuni ranking ke-23 dunia berbanding Chong Wei yang jatuh di kedudukan ke-44 dunia.

Bagaimanapun Misbun mengakui, Zii Jia sudah mula mengorak langkah untuk menempatkan diri dalam kelompok teratas dunia.

"Inilah risiko (tewas di pusingan pertama Terbuka Malaysia) yang perlu dihadapi apabila pemain itu baru menapak di peringkat antarabangsa.

"Dia perlu ambil iktibar daripada kekalahan ini dan harus sedar bagaimana untuk bermain di tahap yang tinggi," katanya.

Sebelum ini, Zii Jia berharap dia mampu untuk menampung ketiadaan Chong Wei di Terbuka Malaysia dan yakin bakal mendapat sokongan padu peminat sendiri, namun semuanya sudah berakhir.

Turut beraksi di Terbuka Malaysia ialah perseorangan lelaki profesional, Liew Daren namun dia juga terkandas di pusingan pertama selepas kalah straight set 10-21, 15-21 kepada wakil Thailand, Kantaphon Wangcharoen.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 4:35pm
d