arena

Usah 'double standard'

Oleh Firdaus Hashim

“JANGAN ada ‘double standard’... FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kena adil dan tegas dalam isu Bojan Hodak kalau tidak FAM akan hilang kepercayaan penyokong tempatan.”

Itu peringatan yang diberikan bekas pemain kebangsaan era 70an dan 80an, Datuk Jamal Nasir yang mahu badan induk bola sepak tempatan itu berlaku adil susulan kritikan pedas Hodak terhadap sistem bola sepak negara selepas kegagalan skuad bawah 19 (B-19) tahun negara kendaliannya melepasi peringkat kumpulan saingan Piala Sanix di Jepun baru-baru ini.

Katanya, pengendali dari Crotia itu harus diadili menggunakan artikel 88 yang melarang penggiat bola sepak tempatan mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen di media berhubung isu membabitkan FAM tanpa kebenaran.

“Satu Malaysia tahu beliau mengkritik bola sepak negara seolah-olah sistem kita selama ini gagal melahirkan pemain berkualiti. Mungkin apa yang beliau sampaikan ada kebenaran tetapi perlu ingat ada juga anak tempatan (jurulatih) pernah kena gantung sebab mengkritik pentadbiran FAM.

“Malah, ada juga digantung kerana mengkritik mutu liga, pengadil, mutu padang dan sebagainya. Biarpun apa yang disampaikan betul, mereka tetap digantung oleh FAM yang menyatakan mereka melanggar artikel 88.

“Jadi dah hampir sebulan nak sebulan, kita masih tak dengar yang Hodak dikenakan apa-apa tindakan sedangkan jelas beliau melanggar artikel 88. Adakah disebabkan beliau jurulatih import, ada keistimewaan tertentu sedangkan jurulatih tempatanlah yang selama ini berjaya menghadiahkan Kejuaraan Piala AFF pada 2010 (Datuk K Rajagobal) serta pingat emas Sukan SEA 2011 (Datuk Ong Kim Swee),” katanya semalam.

Sebelum ini, beberapa pengendali tempatan seperti Dollah Salleh, B Sathianathan, Datuk K Rajagopal dan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Anuar Musa pernah digantung ekoran kritikan pedas mengenai sistem bola sepak negara, pentadbiran FAM mahupun perjalanan liga tempatan.

Dollah misalnya, didakwa melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 88 Statut FAM akibat tindakannya yang mempertikaikan mutu pengadilan Liga M yang didakwa boleh menjatuhkan reputasi FAM pada 2017.

Pengendali Pahang itu kemudiannya digantung selama 18 bulan dan denda RM30,000 sebelum ia dipendekkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Kontraknya akan berakhir Julai ini, jadi pada saya FAM boleh fikirkan jurulatih lain kerana beliau jelas memalukan bola sepak kita,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 10:35am
d