arena

Griezmann silap percaturan?

Oleh AFP

ANTOINE Griezmann yakin Atletico Madrid menunjukkan peningkatan namun 10 bulan selepas itu, dia mungkin tertanya-tanya sama ada dia patut kekal di situ atau tidak.

Atletico menentang Barcelona di Camp Nou awal pagi Ahad, di mana Griezmann sepatutnya bergandingan dengan Lionel Messi, beberapa minggu sebelum hampir menjulang gelaran La Liga, mungkin dua gelaran dan kemungkinan Liga Juara-Juara.

Sebaliknya dia kekal di kelab itu, keputusannya menolak tawaran Barca didedahkan menerusi dokumentari televisyen pada Jun.

“Atletico melakukan segala-gala yang termampu untuk memastikan pasukan terus berkembang, ia menakjubkan,” katanya.

“Saya tidak boleh menunggu lagi, saya perlu beritahu orang ramai yang saya perlu kekal di kelab ini.”

‘The Decision’, yang juga menjadi tajuk program itu, mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan susulan hubungan keruh di antara Atletico dan Barcelona.

Griezmann sepatutnya meninggalkan kelab itu setahun lebih awal, iaitu pada musim panas 2017 apabila Manchester United menyangka pemain itu akan menjadi milik mereka seinggalah pemain Perancis itu memilih untuk menandatangani kontrak baharu apatah lagi dipujuk bahawa penggantungan pembelian terhadap Atletico akan melarang kelab itu daripada membeli pengganti.

Bagaimanapun kontrak baharunya tidak segah disangkakan dengan klausa pelepasan yang akan jatuh kepada 100 juta euro (RM458.3 juta), setahun kemudian.

“Sudah pasti dia boleh meninggalkan kelab pada masa tertentu,” kata jurulatih Diego Simeone tidak lama selepas itu.

“Saya suka melihat pemain saya berkembang, dan jika salah seorang memberitahu saya mereka mempunyai peluang unik untuk bermain dengan kelab tertentu selepas apa yang mereka lakukan untuk saya, seperti yang dilakukan Griezman, saya akan katakan tiada masalah.”

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 11:10am
d