arena

Ally, Lexi saling mencabar

Oleh AFP

Ally McDonald mencatat birdie di lubang ke-18 awal pagi tadi untuk mendahului satu pukulan berbanding empat pemain selepas pusingan pertama kejohanan ANA Inspiration, kejohanan major pertama dalam kalendar LPGA.

Ally berada jauh di depan pencabarnya sebelum mencatat bogey pada lubang ke-14 dan dia berjaya meletakkan dirinya di depan sekali lagi dengan birdie ketujuh untuk mengumpul empat di bawah par 68 di Mission Hills Country Club, Rancho Mirage, California.

Pemain Sweden Linnea Strom, bintang Amerika Syarikat Lexi Thompson dan dua pemain Korea Selatan Ko Jin-young dan Kim Hyo-joo ketinggalan satu pukulan dengan 69 pukulan.

Bekas pemain nombor satu dunia Lydia Ko dari New Zealand berada dalam kumpulan 10 pemain dengan 70 pukulan manakala pemain nombor satu dunia ketika ini Park Sung-hyun mendahului kumpulan 13 pemain dengan satu di bawah par 71.

Lexi, juara gelaran itu pada 2014 meletakkan sasaran awal dengan 69 pukulan termasuk dua bogey dan lima birdie termasuk birdie berturut-turut untuk menyempurnakan pusingan itu.

“Hari ini penuh dengan turun dan naik,” kata Lexi.

“Saya membuat beberapa pukulan hebat dan ada yang tidak menjadi seawal tee-off. Saya fikir sepatutnya membuat lebih banyak pukulan ke fairway.

“Saya melakukan pukulan putt yang hebat dan ia melonjakkan keyakinan saya. Saya fikir secara keseluruhannya, saya patut membuat pukulan lebih baik. Namun saya tidak merungut.”

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 12:41pm
d