arena

Tok Gajah tanpa Dollah?

Oleh Asrol Awang

SKUAD Pahang yang akan melayan kunjungan PJ City FC di Stadium Darul Makmur Ahad ini, dijangka tidak mendapat bimbingan pengendalinya, Dollah Salleh.

Ini kerana bekas pemain kebangsaan itu menghadiri kursus lesen pro di Kuala Lumpur dan kemungkinan tugas itu dipikul dua penolong jurulatih, Ahmad Shaharuddin Rosdi dan Shahrulnizam Sahat.

“Sama ada saya akan berada di Kuantan pada hari perlawanan (Ahad ini) tidak dapat disahkan buat masa ini kerana perlu menghadiri kursus lesen pro.

“Tapi, jika diberikan pelepasan oleh pengurusan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), saya akan bersama pemain kerana ia perlawanan yang sengit untuk mengukuhkan kedudukan pasukan dalam saingan Liga Super.

“Lebih-lebih lagi, PJ City berada pada prestasi terbaik ketika ini termasuk membenam PKNS FC 1-0 pada 30 Mac lalu,” katanya.

Selepas tujuh perlawanan, Pahang kini mengungguli takhta liga dengan 17 mata manakala PJ City yang mengutip tujuh mata berada di kedudukan kesembilan.

Bagi tuan rumah, kemenangan ke atas PJ City dengan kelebihan beraksi di laman sendiri diyakini membantu skuad Tok Gajah untuk kekal berada di persada liga.

Justeru, Pahang yang kali pertama menjulang Piala Liga Super pada musim 2004 tidak boleh melepaskan mata kepada skuad kendalian K Devan.

Atas faktor itu, Dollah yang juga bekas pengendali Harimau Malaya mahu anak buahnya mengekalkan momentum aksi cemerlang selepas merekodkan lima kemenangan dan dua seri.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 2:53pm
d