arena

Infantino jumpa Tun M

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan hormat delegasi pemimpin bola sepak diketuai Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino di pejabatnya di Putrajaya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan media memaklumkan Infantino diiringi Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Presiden Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), Kohzo Tashima dan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John.

“Ini pertemuan rasmi pertama antara Perdana Menteri dan Presiden FIFA sejak 1960-an, apabila Tunku Abdul Rahman beberapa kali menerima kunjungan Stanley Rous.

“Kunjungan hormat itu disusuli majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara FAM dan JFA bertujuan mewujudkan rangka kerja bagi mengukuhkan kerjasama teknikal dan belia serta menggalakkan pertukaran pengetahuan dalam pendidikan kejurulatihan dan pentadbiran,” katanya.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyaksikan pemeteraian MoU antara Hamidin dan Tashima, sehari menjelang Kongres AFC ke-69 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Hamidin berkata, pihaknya berbesar hati menjalin kerjasama rasmi kali pertama dengan JFA dan optimis ia akan memperkukuhkan ikatan antara dua negara, serta menjadi langkah penting untuk memartabatkan bola sepak negara.

“Bagi FAM saya mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana memberikan kami peluang berkongsi pandangan dengan beliau.

“Kami yakin sebagai pemimpin yang memulakan Dasar Pandang Ke Timur, beliau menyokong projek ini.

“Dengan kejayaan layak ke Piala Dunia FIFA berturut-turut sejak 1998 dan muncul juara Piala Dunia Wanita FIFA, Jepun pasti menawarkan peluang tidak terbatas untuk kami belajar,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 7:01pm
d