arena

JDT kembali ke puncak

Oleh Rizar Mohd Noor

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) kembali merampas tangga teratas Liga Super selepas menewaskan FELDA United yang beraksi dengan lapan pemain 3-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Lebih dramatik, tiga gol dihasilkan dalam tempoh hampir 10 minit masa kecederaan selepas JDT memecah kebuntuan pada minit ke-88 menerusi penyerang import dari Argentina, Gonzalo Cabrera.

Pemain tengah FELDA dari Brazil, Jocinei Schad menyamakan kedudukan pada minit pertama masa kecederaan namun JDT bangkit memastikan tiga mata apabila Akhyar Rashid meletakkan mereka di depan pada minit ke-93 sebelum Diogo Luis Santo melengkapkan jaringan pada minit ke-100.

FELDA United beraksi dengan lapan pemain apabila Zahril Azri Zabri dilayangkan kad merah oleh pengadil Fitri Maskon pada minit ke-60 kerana mengutip kad kuning kedua diikuti Thiago Junior (m-83) dan Hadin Azman (m-87).

Kelebihan itu digunakan sebaiknya JDT ketika FELDA sukar bertahan dengan semua gol hadir selepas pelawat beraksi lapan pemain.

Kemenangan itu membolehkan JDT merampas kembali tangga teratas Liga Super dengan 20 mata selepas lapan perlawanan manakala Pahang, yang sebelum ini mendahului menerusi perbezaan gol, di tangga kedua dengan 17 mata daripada tujuh perlawanan.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 11:38pm
d