arena

Rayzam tak sabar turun berlatih

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

“KALAU doktor kata boleh (berlatih) minggu depan pun, saya sanggup,” kata jaguh 110 meter lari berpagar kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian.

Menurutnya, dia bersemangat untuk berlatih bagi persiapan Sukan SEA Manila hujung tahun ini biarpun terlepas Kejohanan Olahraga Asia di Doha dari 21 hingga 24 April ini.

“Pembedahan bagi memasukkan plat besi dan lapan skru pada tulang tangan kanan dibuat Selasa lalu, jam 12.30 tengah hari di hospital swasta di Kota Kinabalu.

“Mujur hanya patah tangan, jika cedera di kaki mungkin makan masa untuk pulih. Memang saya semangat untuk kembali berlatih.

“Namun, doktor arahkan saya berehat sebelum datang semula untuk pemeriksaan minggu depan,” katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Atlet berusia 31 tahun itu kini berehat di rumah selepas dibenarkan keluar hospital jam 4 petang semalam.

Rayzam berkata, kos pembedahan dan rawatan itu ditampung menggunakan insurans Lembaga Sukan Negeri Sabah tempat dia bekerja.

“Setakat ini saya belum pasti bila dapat kembali berlatih di Institut Sukan Negara dan kena tunggu selepas buka jahitan dua minggu lagi dan bergantung kepada doktor,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2019 @ 12:08am
d