arena

Klopp lega Salah kembali gegar lawan

Oleh AFP

JURGEN Klopp menegaskan beliau tidak pernah meragui kemampuan Mohamed Salah selepas bintang Mesir itu menamatkan kemarau jaringan dalam lapan perlawanan dengan membantu Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana.

Salah menembusi gawang lawan hasil jaringan menerusi larian solo menarik ketika membantu Liverpool bangkit daripada ketinggalan menewaskan Southampton 3-1 di St Mary awal pagi tadi dan mengatasi Manchester City dengan dua mata.

Kelebihan berpihak kepada City yang beraksi kurang satu perlawanan tetapi The Reds enggan mengalah dalam misi mereka menamatkan kemarau kejuaraan selama 29 tahun.

Skuad Klopp tampak hampir kehilangan mata berharga sehinggalah jaringan Salah pada minit ke-80 yang juga gol ke-50nya dalam Liga Perdana untuk tempoh hanya dua musim bersama kelab itu.

"Saya tak pernah sangsi dia pemain hebat dalam skuad ini,” kata Klopp.

"Jaringan itu yang ke-50 baginya bersama Liverpool, jumlah yang mengagumkan. Dia sangat konsisten."

Salah menerima kritikan hebat sejak beberapa minggu lalu selepas didakwa mementingkan diri sendiri di depan gawang lawan dan dia memilih saat yang tepat walaupun Roberto Firmino sedia membantu ketika menjaringkan gol kedua Liverpool.

"Sebagai penyerang anda perlu menjaringkan gol dan saya membuat keputusan untuk merembat bola itu,” kata Salah kepada Sky Sports.

Liverpool sekali lagi terpaksa bekerja keras dan gagal beraksi pada tahap sebenar selepas Southampton mendahului perlawanan pada minit kesembilan menerusi tolakan jarak dekat Shane Long dalam kotak penalti.

Naby Keita menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-36 yang juga jaringan pertamanya bersama Liverpool sehinggalah jaringan Salah menyakinkan skuad Klopp untuk melonjak dua mata mengatasi City di puncak liga.

Jordan Henderson melengkapkan kemenangan pada minit ke-86 tetapi Klopp mengakui prestasi anak buahnya bukan di tahap terbaik sehingga memerlukan jaringan lewat seperti ketika mereka menewaskan Tottenham Hotspur dan Fulham sebelum ini.

"Prestasi kami agak hambar tetapi ia berkaitan dengan perjuangan,” katanya.

"Penyokong mahu kami beraksi seperti Manchester City, kami tak mampu melakukannya dan kami bermain dengan cara sendiri.

"Kami mempunyai 82 mata sekarang. Ia jumlah yang besar dalam liga gila ini dan semua orang menunggu kami. Saya sangat bangga dan ia menakjubkan.

"Tahun ini memang sukar kepada semua orang. Anda perlu 70-75 mata untuk layak ke Liga Juara-Juara dan 90 atau lebih untuk muncul juara liga. Kami berlumba untuk itu dan ia amat menarik.”

Klopp turut mengakui kemasukan Henderson dan James Milner pada pertengahan babak kedua menyemarakkan kebangkitan lewat Liverpool.

"Kemasukan Jordan Henderson menjadikan kami lebih agresif dan mempunyai arah selepas itu,” katanya.

Southampton kekal lima mata di atas tiga pasukan terbawah liga dan pengurus Ralph Hasenhuttl kecewa dengan skuadnya yang gagal bertahan.

"Jika anda mendahului selepas lima minit, anda berada dalam arah yang betul,” Hasenhuttl.

"Masih ada masa tetapi jika anda ahli sukan sudah tentu anda kecewa apabila gagal menang. Tidak banyak pasukan berpeluang menewaskan mereka musim ini dan kami membazirkannya.”

Disiarkan pada: April 6, 2019 @ 7:17am
d