arena

Hazard makin hampir milik Real Madrid

Oleh Agensi

PERPINDAHAN Eden Hazard ke Real Madrid makin hampir menjadi kenyataan, menurut laporan di Sepanyol.

Real yang serius mendapatkan bintang Chelsea itu sejak sekian lama selepas menyinar di Liga Perdana masih lagi tercari-cari penyerang setanding Cristiano Ronaldo yang kini beraksi bersama Juventus.

Menurut akhbar Marca, Real akan menandatangani penyerang Belgium berusia 28 tahun itu dengan kontrak enam tahun dalam masa beberapa hari lagi.

Terdapat juga laporan Hazard yang kini bersiap menghadapi cabaran West Ham dalam aksi Liga Perdana pada awal pagi Selasa ini bakal ke Madrid untuk mencari penginapan di ibu kota Sepanyol itu.

Zinedine Zidane yakin sayap lincah itu mampu mencetuskan impak kepada nasib Real dalam misi menumbangkan Barcelona dan merebut trofi Liga Juara-Juara musim depan.

Hazard sekali lagi menikmati musim cemerlang dengan kerap menghantui pertahanan lawan dalam Liga Perdana dan Liga Europa.

Dia menjaringkan 14 gol dan 12 bantuan jaringan dalam 31 aksi Liga Perdana.

Pengurus, Maurizio Sarri berharap Hazard dapat meneruskan momentum dalam usaha memastikan slot Liga Juara-Juara menjadi milik mereka musim depan.

The Blues kini menduduki tangga kelima, satu mata di belakang empat pasukan teratas dan bakal menentang Slavia Prague dalam aksi suku akhir Liga Europa.

Disiarkan pada: April 6, 2019 @ 2:15pm
d